Monolog Gila

Kebelakangan ini
Aku saja buat hidup aku lelah

Aku hanya akan pulang
Kala jam menginjak 12malam
Mencari Tuhan katanya

Poyo

Aku sengaja
Aku tak mau hidup aku kosong
Ak tak mau sedikit pun kepala aku dihinggapi ulat- ulat busuk
Yang boleh merosakkan jiwa aku

Kau tahu bagaimana sakitnya kehilangan?
Hingga kini aku masih cuba bertenang

Aku bukan tak redha
Cuma aku rindu

Siapa masih ada mak ayah,
Kalau kau tak santuni mereka,
Aku selar kau cukup-cukup,

Jangan kau rasa kau hebat
Biadap punya anak
Pergi sana jauh-jauh
Puihhhh!!!!!

Jangan kau rasa hebat
Selagi mana kau tak ada azam
Nak bawa keluarga kau ke Syurga

Dan aku nak ingatkan
Nak pergi Syurga bukan semudah kelip mata,
Kena usaha cari Rahmat Allah

Ye, sebenarnya dari awal aku cuma nak kata CARI RAHMAT ALLAH.

Ok bai

Henti bertikah, jangan cepat melatah

Saya kira sekarang ini zaman tuduh menuduh. Tidak kurang juga dikalangan ahli agama sendiri, hentam menghentam. Dalam dakwah juga sama, ada kalanya perselisihan dan bertikam lidah. Siapa kita untuk mengukur manusia. 
Kadang-kadang kita bertikah atas perkara yang kita tidak pasti. Ianya bukan sahaja mengguris malah kelihatan juga berat sebelah. Terlalu mempercayai sebelah pihak membawa kepada perpecahan. Sedangkan ibu bapa kita sendiri tidak mengenal sepenuhnya diri kita, apatah lagi sahabat. Boleh jadi kita hanya berperangai baik hanya didepan sahabat tetapi tidak keluarga. Itulah realiti yang berlaku. Bagaimanakah dari situ kita mendabik dada yakin bahawa kita cukup kenal dengan sahabat kita. 

Apa sudah jadi? Saya tidak akan mengambil pusing sekiranya hal ini berlaku dikalangan orang diluar sana yang tidak menerima tarbiyah. Tetapi hal-hal begini biasanya benar-benar terjadi dikalangan mereka yang hebat- hebat dalam agama dan telah lama ditarbiyah. Oleh itu persoalannya, dimana nilai tarbiyah yang selalu meniti bibir- bibir para daie ini? 

Cepat sahaja otak saya ligat berfikir bahawa tidak semua orang yang ditarbiyah memiliki hati emas. Saya juga mungkin salah seorang daripadanya. 

Islam mengajar kita hikmah dalam apa jua keadaan. Islam tidak ajar kita bertikah sahut sahutan. 

Siapa pun tidak sempurna dan kesilapan pasti ada. Terima lah dengan hati terbuka bukan dengan cara menuding membabi buta. Dalam dunia ini tiada siapa pun yang benar-benar mengenali diri kita. Malah mungkin juga kita diantara orang yang sebenarnya tidak mengenali diri sendiri. 

Kamu, ye kamu yang sedang membaca dan saya yang sedang menulis, jangan sesekali kamu dan saya mengatakan cukup mengenali sahabat kamu, ustaz kesayangan kamu, ustazah kecintaan kamu, musuh kamu, murobbbi kamu serta mutarabbi kamu kerana padanya nampakla kepincangan yang terang. Jangan angkuh membela dan angkuh menuduh. Kamulah diantara bakal perosak agama Islam.

Persoalan saya, kita ingin bersama membangun karakter daei dan perjuang agama atau membangun jiwa-jiwa angkuh perosak agama Muhammad ini?

Saya bukan wahabi, dan saya juga bukan cendekiawan. Saya cuma seorang yang sedang bersedih melihat pertelingkahan yang sengaja diperbesarkan diantara para ulamak serta orang agama yang bijak pandai. Saya cuma berharap agar selepas ni tiada lagi isu

Wardina vs Ustaz Don

Kapten Hafiz Firdaus vs Fatimah Syarha

Ustaz Asri vs Ustaz Don

Hilal Asyraf vs Angel Pakai Gucci

Serta lain- lain figuriti yang tidak ingat untuk saya sebutkan.

Tak lupa juga buat:-

Sang Murabbi vs Sang Murabbi.

Tak salah rasanya menegur atau menasihati dengan hikmah berbanding bertegang urat menuding siapa benar siapa salah. 

Cara dakwah setiap orang tidak sama tapi saya pasti kita semua sepakat untuk ke Syurga.

Wallahualam.

05/05/14  – 11.31PM – Rumah Cahaya

Bukan Kufur Tapi Belajar Bersyukur

Dengan setiap takdir,

Aku bersyukur atas pemergian ibu
Jika tidak, aku pasti tidak tahu apa itu erti doa dan airmata,
Jika tidak, aku pasti tidak merasa apa itu rindu yang tiada penghujung,
Jika tidak, aku pasti tidak mengenang segala memori kasih sayang ketika bersama,
Jika tidak, aku yakin bahawa aku pasti masih tidak mengerti erti berdikari, sabar, dan menghargai.

Aku bersyukur abah hilang nikmat ingatan,
Dengannya, aku menjadi pemandu setianya membawa kemana saja hajat hati,
Dengannya, aku belajar erti sabar,
Dengannya, aku berusaha untuk memahami isi hatinya,
Dengannya, aku bertatih menjadi anak yang cuba belajar setiap keperluan hariannya,
Dengannya, aku bisa menjawab setiap persoalan berulangnya,
Dengannya, aku berjaya menyemai kasih sayang yang suatu masa dahulunya tiada… Allahuakhbar

Aku bersyukur memiliki 4 saudara perempuan seibu sebapa,
Walau punya pelbagai ragam dan rasa,
Aku belajar erti masinnnya garam,
Aku belajar erti masamnya cuka,
Aku belajar juga erti pahitnya hempedu,
Dan…
Aku tidak pernah lupa akan manisnya madu,

Aku bersyukur dengan rangkaian sahabat,
Berkasih sayang hanya kerana Allah,
Tinggalkan…
Soalan fikrah dan potensi,
Kerana semua punya kelebihan anugerah Ilahi…

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakhbar…

aTalhah :1.45am :28.1.2014 :Rumah Sakti

Kufur Si Kaya Luluh Si Miskin

Pagi ini saya agak tertarik dengan satu post disebuah laman sosial. Jika ingin dikatakan bahawa laman sosial ini membawa kesan negatif, tidak juga. Boleh dikatakan laman sosial ini sifatnya adalah subjektif. Kenyataan ini saya pasti semua pun tahu. Ada yang menggunakannya sebagai medan perniagaan, ada yang menggunakannya sebagai medan berkongsi kegembiraan, ada yang menggunakannya ibarat “diari”, ada yang lebih untuk melepaskan geram, dan tidak lupa juga menjadikan laman sosial sebagai medan dakwah. Boleh diguna pakai dalam pelbagai bentuk dan cara.

Saya beranggapan bahawa setiap post yang kita kongsikan kadangkala dilihat dan dibaca oleh segenap pengguna laman sosial. Kadangkala perkongsian yang baik dibidas se’pedas’nya oleh rakan laman sosial sebagaimana yang pernah dikongsikan oleh Ustaz Hasrizal dimana beliau memberikan sedikit pandangan lalu beliau dikatakan “belajar tidak habis” tetapi sibuk memberi pandangan. Mungkin kita akan merasa marah apabila di bidas dengan tidak berhikmah, dan saya juga tidak terlepas dari mengalami perasaan tersebut satu ketika dulu. Kala saya bertanya kepada diri mengapa hal- hal begini terjadi sedangkan kita cuba berkongsi sesuatu yang baik. Akhirnya saya menemui jawapan, bahawa sebenarnya itu juga 1 peringatan yang dari Allah. Kadangkala kita berkongsi perkara yang baik tetapi kita tidak amal, maka bidasan itu adalah peringatan kepada diri agar kita belajar ikhlas untuk istiqamah dalam amal. Kerap kali saya mengingatkan diri tidak apa jika dibidas atau dicaci, kerana saya didalam sebuah perjalanan memperbetulkan diri dan ianya adalah satu peringatan sinis yang baik agar diri boleh terus mencari titik lonjakan yang lebih tepat.

Kita mungkin akan lebih gembira jika setiap perkongsian kita dilaman sosial mendapat “like” yang banyak, mendapat komen- komen sokongan walau ianya perkongsian melepas geram atau perkongsian terhadap perkara- perkara remeh yang “eksklusif”. Saya agak pasti jika datang seorang naif yang tidak memberi sokongan dan “like”, maka dia juga akan dibidas dengan sinis. Padanlah muka.

Begini lah, kebaikan itu juga boleh jadi 1 ujian dan kebatilan sudah pastinya statusnya juga ujian. Jika kita ingin melakukan sesuatu yang baik tapi dibidas, carilah hikmah atasnya agar kita lebih berlapang dada. Jika kita menjadi si “terlupa” yang Allah sedang mencatat segala gerak gerinya, maka berbahagialah dengan si naif yang cuba untuk memberikan peringatan bahawa Allah itu sedang melihat.

Begitu juga jika kita memiliki kekayaan tetapi di labur hanya untuk keseronokan sementara dengan harga yang tinggi lalu dikongsi ke segenap ruang dunia, maka kasihanlah pada si miskin yang luluh hatinya kerana tidak mampu membeli sekampit beras.

Carilah hikmah disegenap ruang yang ada… 

 

Sezarah Hempedu, Setitik Madu Buat Sang Perindu

Alhamdulillah telah masuk bulan ke-2 bekerja ditempat baru yang penuh dengan alam semulajadi, pokok- pokok bakau, monyet, lotong, siput dan tak lupa juga kapal- kapal dagang dari Negara- Negara luar yang beratur untuk masuk ke Pelabuhan Tanjung Pelepas. Tapi tak bermakna saya juga bekerja di pelabuhan tersebut.

Kehidupan ditempat baru, walau kembali ke tempat kelahiran sendiri, banyak airmata yang telah mengalir bagi harga sebuah penghijrahan. Jika ingin dikatakan pengorbanan, tidak juga kerana saya masih tidak terkorban mati atau sebagainya. Hanya pengorbanan sebuah perjalanan kehidupan seorang hamba Allah yang sentiasa dambakan Syurga di “sana” kelak.

Setiap hari, bangun sahaja dari tidur, saya melihat sekeliling, dimana saya berada kini, owh saya tidak bermimpi rupanya, bahawa saya telah kembali ke kampung halaman. Tiba di tempat bertugas, mata saya kembali melilau sekeliling, tiada lagi bangunan- bangunan gah yang dibina kerajaan, tiada lagi tasik buatan serta jambatan yang tersergam indah.

Ya, hati saya tertinggal di tempat lama. Di sana saya membawa diri, selepas ibu tersayang kembali ke Rahmatullah. Di mana sahaja kedengaran ada majlis ilmu akan dijalankan, maka saya akan terus merebut peluang tersebut untuk bersama- sama mereka yang sentiasa tidak jemu mencari ilmu Allah. Saya juga mengalami masalah kewangan yang agak gawat tetapi saya cuba untuk bertenang dan sentiasa berusaha dan berdoa kepada Allah agar Allah memberi jalan kepada saya. Saya sentiasa menyisip didalam hati ‘bekerjalah kerana Allah’ agar rezeki yang diperolehi lebih barakah.

Bukan mudah untuk saya melupakan semua itu. Saya rindukan tugasan- tugasan saya dahulu dari pejabat ke tugasan luar pejabat. Saya rindu bulatan gembira yang saban minggu saya hadiri, saya rindu kebaikan sahabat- sahabat yang sentiasa memberikan semangat, sentiasa menghulurkan bantuan tanpa diminta, sentiasa menasihati dan pelbagai lagi kebaikan mereka yang tidak dapat saya sebutkan (kerana terlalu banyak).

Perjalanan hidup kita ini telah ditentukan oleh Allah s.w.t sebelum kita melihat dunia lagi. Seperti yang disebut didalam  alquran surah 57:22 Allah berfirman bahawa setiap bencana yang berlaku dibumi ini semua telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya lagi, seseungguhnya demikian itu mudah bagi Allah. Ternyata takdir yang dilalui kini telah Allah tetapkan sedari kita masih tidak wujud lagi. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui. Siapa kita, sedikit atau banyak amalannya, Allah telah tetapkan semuanya. Kita yang masih tidak tahu akan perjalanan hidup ini serta perancangan Allah perlu meneruskan perjalanan dunia menuju akhirat ini dengan sebaik mungkin. Benar bahawa syurga dan neraka kita juga telah ditetapkan tetapi sebagai hamba yang marhain ini, perjalanan untuk menggondol Syurga Allah perlu diteruskan hingga ke garisan penamat. Benar kadang- kadang kita merasa lelah, futur dan sebagainya, tetapi langkah kita wajib diteruskan dalam musafir bertemu Allah. Setiap kata- kata Allah ini membuatkan kita merasa dekat dengan-Nya. Apatah lagi kala kita diuji. Maha Suci Allah…

 Dan Allah menyambung lagi firmannya didalam surah yang sama ayat 23 bahawa “Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira  terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu”. Asyik dengan kegembiraan dikelilingi dengan orang- orang yang soleh membuatkan diri kita merasa bertuah serta gembira dengan adanya mereka. Ia menjadi zon selesa bagi kita kerana secara langsung atau tidak, sifat ilmu yang sentiasa mengalir itu menyebabkan kita rasa bertuah kerana sentiasa mendapat perkongsian dari mereka. Tetapi apabila diuji berada berjauhan, keseorangan cuba memikul dakwah, kita rasa amat sedih dan tidak mampu. Kerana apa, kerana kita terlalu gembira dan selesa dengan nikmat yang sementara sedangkan dihadapan ada pelbagai lagi cabaran untuk menuju Syurga abadi. Maha Suci Allah.

Jika dahulu saya berada didalam zon selesa, tetapi kini tiba pula ujian fitnah, tohmahan dan sebagainya. Saya juga diberi gelaran khinzir yang dengan secara tidak sengaja saya ketahui. Demi kedudukan yang dikatakan selesa, jawatan tidak seberapa yang hanya diiktiraf didunia ini, pelbagai cara dilakukan untuk menyingkirkan saya dari terus berada disini. Tidak mengapa, kerana saya sentiasa memaafkan dan yang pasti Allah pasti menambah tabungan pahala saya sebagai bekalan akhirat kelak. Janji Allah itu pasti dan itulah satu- satunya pengubat hati saya kala ini. Kini saya belajar untuk gembira sekadarnya dan bersedih sekadarnya untuk mewujudkan keseimbangan hati.

Wahai Allah yang Maha Mendengar, berilah kebaikan serta setitik cahaya permulaan kepada setiap saudara ku ini, agar kelak, kami dapat melangkah ke syurgaMu. Wahai Allah yang Maha Memberi yang sentiasa memberi hidayah, hambaMu pohon taufik dan istiqamah agar kami semua selamat dari api neraka. Wahai Allah, hambaMu ini tidak punya apa, dan hanya harapan dari Mu sahaja yang mampu memberi kekuatan musafir ini… Wallahualam.

Kerana Dirimu Begitu Berharga

Perhatian! Ini Bukan Iklan Syampu 🙂

Assalamualaikum w.b.t. Alhamdulillah Alhamdulillahilladzi Hadana Lihadza.. Wama Kunna Linahtadiya Laula An Hadanallah… Asyhadu alla ila ha illallah…wahdahu la syarikalah..Wa Asyhadu Anna Muhammadan Abduhu Wa Rasuluh.

Serasa bersawang sudah blog ini dek kesibukan (poyo sibuk je) aktiviti harian semenjak betukar kerjaya dari bandar besar ke hujung benua tanah besar asia. Alhamdulillah hampir 2 bulan berada disini, keluar bekerja 6.20pagi, pulang sampai kerumah 7.30malam. Pelbagai dugaan juga yang dihadapi. Kehabisan petrol, kehabisan duit, tayar meletup dan beberapa hari ini diuji dengan kesihatan yang kurang memberangsangkan. Serasa tidak berdaya memandu untuk ke tempat kerja tetapi Alhamdulillah dipermudahkan Allah untuk sampai. Alhamdulillah. Ok sedikit sahaja perkongsian di tempat kerja baru saya kira.

Perkongsian kali ini adalah inspirasi dari tajuk talk Dr Harlina Siraj tetapi diubah isinya mengikut citarasa saya sendiri. “Kerana Dirimu Begitu Berharga”.

Ia mengenai diri saya dan kalian semua.

Beberapa hari lalu saya ada meluahkan perasaan kepada salah seorang sahabat di tempat kerja lama saya. Setelah 2 bulan berada di hujung benua selatan, kini saya terfikir bahawa 2 perkara yang paling penting dalam hidup kita sebagai hamba dan pekerja adalah agama dan ilmu (pendidikan).

Setiap manusia perlukan agama untuk menjadi panduan dan garis dalam kehidupan. Agama wajib ada bagi setiap manusia kerana agamalah yang menjadi garis batasan setiap perlakuan kita didunia ini. Sudah pasti kita sebagai hamba yang beragama islam wajib mematuhi fiqah dan syariah yang telah ditetapkan. Tanpa agama, manusia hilang punca, tanpa agama manusia akan kehilangan garis sempadan hidup dan bagi saya, tanpa islam, dunia ini tidak wujud. Kerana dunia ini dicipta oleh Allah untuk manusia, dan manusia ini dicipta untuk akhirat Allah.

Pendidikan atau ilmu (secara formal atau tidak formal) pula adalah suatu perkara yang sangat penting. Secara kasarnya, kita semua akan dipandang rendah jika tiada pelajaran. Sebelum ini pula saya merasakan pendidikan perlulah berjalan sekali dengan kerjaya yang baik. Jika tidak, serasa tidak berguna kita belajar. Bila bercakap atau menyampaikan pula susah didengari. Salah sama sekali pemikiran tersebut.  Pendidikan ini juga sebenarnya penting sebagai bekalan hidup sebelum menuju akhirat. Tidak kira siapa kita, bekerja sebagai orang bawahan atau atasan, pendidik atau orang yang dididik, pentadbir atau ditadbir, kita semua perlukan pendidikan. Pendidikan itu penting dan wajib dituntut. Kerjaya pula adalah rezeki yang telah Allah tetapkan bagi setiap dari kita. Dimana kita berada, walau apa kerjaya kita, agama dan pendidikan itulah yang paling penting.

Mari saya ceritakan sedikit situasi yang saya lalui kini.

Pengalaman bekerja sebelum ini amatlah manis, berada didalam zon selesa walau tidak berpangkat, dikelilingi oleh mereka- mereka yang taat akan rukun iman dan ianya sangat melegakan. Saling berkongsi ilmu dan berbincang, tazkirah wajib yang dijalankan dan sifat hormat menghormati antara satu sama lain. Walaupun majoriti dari kami hanyalah kakitangan kumpulan sokongan tetapi jangan terkejut jika melihat level pendidikan mereka yang sangat baik. Pemikiran yang sangat terbuka dan menghormati antara 1 sama lain. Tiada masalah untuk solat bejamaah, berpuasa sunat dan pelbagai lagi. Saya kira itu sesuatu yang sangat melegakan kerana berada dikalangan mereka. Alhamdulillah syukur.

Pengalaman kini pula, saya hampir sahaja terjelupuk memikirkan keadaan mereka yang berada disini. Surau kelihatan kosong tanpa makmum atau imam, pergaulan yang tiada batas, percakapan yang sering tidak menghormati antara satu sama lain, mencarut dan cara pemikiran yang amat singkat. Mereka juga merupakan kakitangan sokongan tetapi mempunyai level pendidikan yang rendah. Hampir setiap hari saya menangis dan berfikir apakah indicator terbaik untuk mengubah sedikit cara pemikiran mereka dan pendekatan terbaik agar mereka patuh pada perintah Allah yang wajib. Sehingga kini saya masih tidak menemui jalan. Saya sentiasa dibidas dan dipermainkan disini. Haha. Sabar. Tetapi saya pasti jika mereka kembali kepada Allah, mereka juga akan menjadi ahli syurga. Saya terlalu berharap agar setiap sangka baik ini menjadi doa kepada mereka dan asbab terbukanya hati mereka untuk menjadi hamba yang taat.

Firman Allah S.W.T maksudnya:

“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beerti ia telah diberikan kebaikan yang banyak”. (Al-Baqarah:269)

Oleh itu kepada mereka yang masih mempunyai karier yang masih tidak memberangsangkan walaupun mempunyai level pendidikan yang tinggi, jangan bersedih kerana dirimu sebenarnya terlalu berharga. Berhenti untuk berkeluh kesah dan berbahagialah kerana kamu layak untuk digelar mukmin yang professional. Dan lebih bagus jika sanggup sentiasa memperbaharui wuduk dalam setiap perkara bukan untuk solat sahaja (macam keluar tajuk pula yang ni 🙂 tapi saya rasa berharga dan perlu :)).

Tetapi saya kira lebih super mukmin professional jika selain agama dan pendidikan (secara formal atau tidak), kita juga perlukan tarbiyah dan dakwah. Serasa mementingkan diri sendiri dan ingin kesyurga sendiri sekiranya proses perjalanan seorang mukmin yang professional serta pentarbiyahan dan dakwah tidak berjalan seiring. Apa- apa pun, dimana kita berada sekarang, siapa diri kita, mari kita kembali semula kepada Allah Maha Pemberi segala nikmat ini.

Wallahualam.

Nasi Goreng Pengubat Melenting

Tajuk sahaja telah mengingatkan kita tentang sarapan pagi di kampung. Ia bukan nasi goreng ala thai atau nasi goreng mamak style. Ini nasi goreng air tangan ibu.

Istimewanya tidak terperi. Masih segar diingatan bila mana cuti semester bermula. Saya diantara yang teruja untuk pulang bercuti. Maklumlah baru sahaja menghabiskan hari- hari peperiksaan. Saya bukanlah tergolong dalam anak yang rajin. Maka selepas subuh sahaja saya akan tidur kembali. Belum pun jam menginjak 8pagi, kedengaran suara Mak memanggil nama saya sambil bunyi derapan kaki semakin hampir dengan bilik. Saya sedar Mak menolak pintu bilik dan melabuhkan dirinya disebelah saya. Saya akan membuka sedikit mata dan menutupnya kembali. Lalu mak akan bertanya, hari ini nak sarapan apa? Lalu saya menjawab pantas, “nasi goreng”. Mak akan akur dengan jawapan saya lalu menanti diam disebelah saya. Lalu mak akan meneruskan lagi ayatnya, “jom buat nasi goreng, mak tumbuk bumbu (blander tak sedap), nekni (nama timangan) tolong goreng”. Saya cepat sahaja bersetuju dengan cadangan mak tetapi malangnya saya masih tidak membuka mata lagi. Hanya suara sahaja yang kedengaran. Lalu seperti biasa saya akan meminta 5minit untuk bersedia bangun. Mak juga masih setia menanti disebelah. Setelah cukup 5 minit (kadang- kadang terlebih), Mak kembali bersuara, “dah cukup 5 minit ke belum?” Saya terkulat- kulat bangun dan terus mengekori mak untuk ke dapur. 

Sementara menanti saya mencuci muka, berus gigi dan cuci tangan, Mak sibuk menyediakan bahan dan mula untuk menumbuk di dalam lesung. Selesai memasak nasi goreng, kami akan bersama dan sebelum itu menghantar sepinggan kepada abah yang berada di stor kerepek.

Saya kira saya diantara anak yang beruntung kerana punya Mak yang sabar untuk mengejut saya bangun tidur. Saya jarang sekali dikejut dengan kasar. Oleh itu, setiap kali bangun tidur, saya mempunyai emosi yang baik untuk meneruskan perjalanan hidup seharian dan seterusnya.

Itu kenangan saya ketika Mak masih ada. Ianya sangat manis bila diimbau. Saya anak yang keras tetapi Allah Maha Pengasih  menganugerahkan ibu yang sangat penyayang.

Saya kira, saya juga bukan pengikut jejak langkah Mak yang penyayang, saya juga seakan menjerit apabila mengejut adik yang tidur selepas subuh dari bilik sebelah. Saya juga bukan sahabat yang baik kerana kadangkala mengejut sahabat lain bangun tidur dengan acuh tak acuh tetapi saya ingin tanamkan sifat didalam diri untuk jadi seperti Mak.

Saya kira kita perlu mengambil ibrah dan belajar untuk berhemah dalam mengejut bangun tidur kepada sesiapa sahaja untuk menjaga emosi mereka. Menghormati dan berhemah itu lebih baik dari berkeras pembakar kemarahan. Wallahualam